Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Sebanyak 63 tanah rancangan FELDA di negeri ini terlibat dengan pelaksanaan Skim Tanah Rancangan FELDA Pahang (STRFP).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, sesi libat urus bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) telah dilaksanakan bagi tujuan semakan dan pengesahan pelan.
“Bagi Wilayah Mempaga, bilangan rancangan terlibat sebanyak 26 rancangan, Wilayah Jengka (20), dan Wilayah Kuantan (17).
“Bagi tujuan semakan pelan dan pengesahan teknikal, sesi libat urus bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) telah dilaksanakan di Lipis pada 26 Jun, Bera (8 Julai), Bentong dan Raub (9 Julai); serta Muadzam Shah dan Rompin (17 September).
“Kesemua sesi tersebut ini dilaksanakan bagi tujuan semakan dan pengesahan pelan oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sebelum tindakan selanjutnya pelaksanaan STRFP diteruskan di peringkat seterusnya. Selain itu, sesi bersama Pengurus Rancangan Felda bagi Wilayah Kuantan bawah Daerah Rompin dan Muadzam Shah juga telah dilaksanakan pada 1 Oktober 2025 sebagai sebahagian daripada proses penyelarasan dan pengesahan akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Jasri Jamaludin pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memastikan pelaksanaan Skim Tanah Rancangan FELDA Pahang dilaksanakan secara berfasa dan berhemah.
“Kerajaan Negeri melalui kerjasama erat bersama pihak FELDA, Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi teknikal berkaitan akan memastikan pelaksanaan STRFP ini dilaksanakan secara berfasa, berhemah dan berteraskan pematuhan sepenuhnya kepada keperluan teknikal, keselamatan serta perundangan,” katanya. – PAHANGMEDIA

