Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 8 NOVEMBER 2025 : Laluan utama di Batu 3, Tanah Putih, Jalan Kuantan–Gambang tergendala sementara selepas tiga batang pokok tumbang menghalang jalan berikutan kejadian ribut malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.25 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota digerakkan ke lokasi.
“Pasukan tiba di tempat kejadian pada jam 8.42 malam dengan kekuatan lima anggota menggunakan jentera LFRT.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga batang pokok tumbang melintang di atas jalan utama menyebabkan laluan tidak dapat dilalui kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media malam tadi.
Tambahnya, operasi pemotongan dan pembersihan pokok dijalankan oleh pasukan bomba dengan bantuan beberapa orang awam bagi memastikan laluan dapat dibuka semula dengan segera.
“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan. Insiden dipercayai berpunca daripada ribut yang melanda kawasan tersebut,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

