SHANGHAI, CHINA, 8 NOVEMBER 2025 : Usahawan Pahang terus melakar kejayaan di pentas global apabila syarikat tempatan, Viasfood Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pengedar makanan terkemuka China, Three Squirrels Inc. sempena Pameran MIHAS@Shanghai 2025, di sini semalam.
MoU strategik ini bertujuan memasarkan produk inovatif Viasfood, iaitu “Musang King Sweet Sauce”, ke pasaran China, mengambil kira potensi besar produk berasaskan durian di negara tersebut.

Majlis pemeteraian bersejarah ini telah disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi dan pengurusan tertinggi daripada Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).
Delegasi rasmi Kerajaan Negeri Pahang yang hadir ke MIHAS@Shanghai, diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda dan Koperasi Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar bin Abu Adam yang turut menyaksikan acara tersebut.
Dato’ Amizar menzahirkan kebanggaan atas kejayaan Viasfood, menegaskan bahawa ia membuktikan produk Pahang berdaya saing dan berpotensi tinggi di peringkat global.

”Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penuh usaha dan keazaman usahawan tempatan yang berani meneroka pasaran antarabangsa,” ujar beliau.
Kerjasama ini tercapai hasil siri perbincangan berterusan sejak Pameran MIHAS Kuala Lumpur September lalu. Kejayaan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran global melalui program promosi dan padanan perniagaan.
Dengan termeterainya MoU ini, Viasfood Sdn. Bhd. bersedia memperkukuh kedudukannya dalam sektor produk durian inovatif, sekali gus membawa jenama Pahang ke arena antarabangsa.

