Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 NOVEMBER 2025 : 21,026 pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Pahang akan menerima set bantuan barangan sekolah dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.05 juta oleh Kerajaan Negeri.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, set bantuan ini telah diluluskan untuk penambahan kategori bagi Program Tunas Makmur 2025.
“Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan penambahan kategori bagi Program Tunas Makmur 2025 kepada 21,026 pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Pahang berupa set bantuan barangan sekolah dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.05 juta.
“Sumbangan ini akan mula diserahkan mulai minggu hadapan oleh Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) bersama jabatan serta agensi berkaitan bagi memastikan agihan berjalan lancar serta sampai kepada semua penerima yang layak di seluruh Pahang.
“Selain itu, semua pelajar SPM juga telah menerima Kad Diskaun Pelajar yang memberi potongan sehingga 30 peratus di MBS Books & Stationery, buku rujukan dan latihan percuma bagi membantu persediaan menghadapi peperiksaan serta peralatan persekolahan bagi pelajar Tingkatan 5 dalam golongan miskin tegar,” katanya.
Beliau dalam kenyataan berkenaan juga menyatakan inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang ini sebagai tanda keperihatinan dalam memperkasakan aspek pendidikan di negeri ini.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan ilmu pengetahuan serta kejayaan akademik anak-anak Pahang.
“Saya yakin, dengan usaha berterusan dan kerjasama semua pihak, khususnya dalam memperkukuh aspek pendidikan, Pahang akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri yang makmur dan berilmu,” katanya. -PAHANGMEDIA

