Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 23 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi jabatan terlibat akan terus memantau serta memberi khidmat nasihat kepada pekebun di Cameron Highlands bagi memastikan penggunaan racun perosak dalam industri pertanian mematuhi peraturan ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, langkah itu penting bagi menjamin keselamatan makanan serta memastikan hasil pertanian negeri ini, khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan, memenuhi piawaian eksport.
“Kita bersama dengan Jabatan Kesihatan dan juga Jabatan Pertanian akan memantau selepas program ini, kita akan tengok dan memantau.

“Kita nak pastikan bahawa para pekebun mematuhi ataupun tidak melanggar peraturan lah. Sebab nanti kalau perkara ini berlaku,yang ruginya peladang juga. Hantar barang sampai nak masuk ke Singapura dah kena ‘reject’. Jadi ruginya pekebun juga.
“Jadi dan kita pihak kerajaan sentiasa memantau. Selain daripada itu kita akan beri khidmat nasihat. Agensi akan bagi nasihat kepada pekebun supaya mematuhi peraturan lah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Townhall Bersama Pekebun dan Pemilik Pusat Pengumpulan Sayur dan Buah Peringkat Daerah Cameron Highlands yang diadakan di Dewan Arabella, Tanah Rata, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dr. Saiful Azlan Haji Sharif, Pengarah Pertanian Negeri, Encik Muhd Rizal Baharom, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Encik Kamarul Iskandar Nordin, serta Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla Haji Mujid.

Menurut YB. Dato’ Ir. Razali, data menunjukkan peningkatan kadar penolakan hasil pertanian oleh negara pengimport seperti Singapura ekoran penggunaan racun perosak melebihi had dibenarkan.
“Dan kalau kita tengok dari segi penolakan konsonan oleh pihak Singapura pun meningkat daripada tahun 2022. Satu notifikasi melibatkan satu pengeksport tahun 2023 dua notifikasi kepada dua pengeksport.
“2024, 18 notifikasi kepada 11 pengeksport dan tahun ini meningkat lagi 39 notifikasi kepada 14 pengeksport. Jadi kita nampaklah kita dapat lihat di sini bahawa penggunaan racun ni dah melebihi daripada had yang dibenarkan.
Katanya lagi, bagi menangani isu tersebut, Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Penggunaan Racun Makhluk Perosak pada tahun lalu yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian, FAMA, Pejabat Daerah Cameron Highlands, Majlis Daerah Cameron Highlands, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (CHDA) dan Pahang Corp.

Tambahnya lagi, sebanyak RM110,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan aktiviti berkaitan seperti sesi libat urus, bengkel penggunaan racun perosak, penghasilan bahan promosi serta penyediaan peralatan ujian makmal.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar pusat pengumpulan hasil pertanian memainkan peranan aktif memastikan setiap sayur atau buah yang diterima daripada pekebun mematuhi tempoh selamat sebelum dituai.
“Kita berharap semua pekebun-pekebun mematuhi penggunaan racun sama ada sayur-sayuran dan buah-buahan. Yang kedua kita harap juga pastikan pusat-pusat pengumpulan memainkan peranan penting sebab pusat pengumpulan ini adalah pintu akhir sebelum hasil pertanian ni sampai ke pengguna. Jadi penting.
“Jadi kepada pusat pengumpulan seperti dalam ucapan saya tadi perlu memainkan peranan antaranya ialah mendaftar premis pusat pengumpulan sayur dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Selepas itu, memastikan sayur ini yang diterima daripada peladang ini mesti mematuhi peraturan dia,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

