Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 23 OKTOBER 2025 : Laluan sepanjang 17.5 kilometer dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis berpotensi menjadi koridor pelancongan utama baharu di Negeri Pahang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, laluan baharu ini juga memastikan rakyat desa terus menikmati kemajuan yang seimbang serta merapatkan jurang sosioekonomi antara bandar dan luar bandar.

“Projek Jalan dan Jambatan dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela ini merupakan satu lagi bukti nyata hasil usaha tersebut. Pembinaan sepanjang 17.5 kilometer ini bukan sekadar menghubungkan beberapa kawasan, tetapi mengubah kehidupan malah memendekkan perjalanan dari 60 kilometer kepada hanya 17 kilometer, dan menjimatkan masa hampir 45 minit setiap hari.
“Dengan siapnya projek ini, kampung-kampung seperti Mela, Gemunchur, Batu Balak dan Labu kini lebih mudah diakses. Aktiviti ekonomi seperti pelancongan, pertanian dan keusahawanan desa akan berkembang, membuka ruang rezeki baharu dan menarik anak muda untuk terus membina masa depan di kampung halaman mereka.

“Saya juga melihat laluan ini sebagai koridor pelancongan utama negeri Pahang, yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut hingga ke Tanah Tinggi Cameron Highlands melalui Kuala Lipis dan seterusnya ke Genting Highlands. Laluan ini bakal menjadi laluan strategik yang memperkenalkan keindahan alam dan budaya Pahang kepada dunia,” katanya.
Tambah beliau, projek bernilai RM157 juta ini berjaya disiapkan dengan penjimatan sebanyak RM4 juta daripada kos yang diluluskan sebanyak RM161 juta.

“Saya berpuas hati melihat projek ini bukan sahaja siap dengan jayanya, malah berjaya menjimatkan RM4 juta daripada peruntukan asal. Kos sebenar hanya RM157 juta berbanding RM161 juta yang diluluskan.
“Penjimatan ini menunjukkan kecekapan semua pihak dalam memantau, menyelia dan melaksanakan projek dengan penuh integriti serta tanggungjawab terhadap amanah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kampung Gemunchur hari ini.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

