Oleh: Ain Nadhirah Basha & Aisyah Abdul Manan
Foto : Ezzatul Shafiqa Asmawai
LIPIS, 23 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyeru daerah yang tersenarai di dalam bandar paling bahagia di Malaysia tidak berada di dalam zon selesa dengan kedudukan berkenaan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, daerah terlibat perlu memperbaiki sebarang perkara yang perlu bagi memastikan ia dapat dikekalkan.

“Saya berharap supaya Lipis ni akan kekal dengan bandar paling bahagia. Sebabnya bila diumumkan Lipis ni bandar paling bahagia, bila kita daripada Lipis kita rasa banggalah.
“Tetapi apa yang ingin saya pesankan ialah supaya kita semua jangan berada di zon selesa. Kita jangan berada di comfort zone. Kita kena pertingkatkan lagi. Daerah Lipis ni apa yang perlu kita baiki, kita baiki lagi sebab daerah-daerah lain pun sedang mengintai. Mereka pun nak jadi daerah paling bahagia.
“Satu Malaysia, bukan di Pahang, satu Malaysia. Kita ada 150 daerah di seluruh negara dan kita di Pahang dapat dua (tersenarai bandar paling bahagia) Raub dengan Lipis. Jadi untuk kekal, jangan berada di zon yang selesa, jangan berpuas hati. Kita tambah baik lagi dan kita sokong apa yang kerajaan nak buat, termasuk dan akan buat yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah 2035 (Penggantian) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustruan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Beliau berkata bagi memastikan bahawa daerah Lipis mempunya perancangan yang khusus, pelbagai tarikan dan infrastruktur akan dibangunkan di bandar ini melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN) Malaysia Pahang.

“Apa yang tak ada, akan diadakan. Macam jambatan gantung, kita juga nak jadikan Koyan Agro City, Kita nak jadikan Benta, Bandar Perwira. Maknanya dia lebih baik daripada apa yang ada sekarang ini.
“Dan kita tak boleh maintain status quo. Bukan saja dalam bandar ke apa jua pun. Kerja harian kita ke, syarikat kita ke, politik ke, tak boleh berada dalam status quo. Kalau kita berada di dalam status quo orang akan potong kita. Jadi kita kena usahalah. Dan bagi kita, PLAN Malaysia membantu kita untuk perancangan yang lebih baik untuk masa depan. Kita kena ingat masa berubah, teknologi berubah.
“Jadi apa yang dirancangkan ini pun kita bincang dan bukan kita saja-saja buat. Apa yang ada di Lipis, kekuatan yang ada di daerah kita ini, contohnya kita ada agro park dan sebagainya, kita ada sungai. Tadi kita tengok (perancangan) buat bangunan di tepi-tepi sungai tadi. Jadi kita buat apa yang kita rancang,” katanya. -PAHANGMEDIA

