Oleh : Norhafizan Zulkifli
RAUB, 18 OKTOBER 2025 : Masyarakat negeri ini diingatkan agar terus memanfaatkan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri menerusi Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan pelbagai program dan bantuan di bawah I.M Pahang diwujudkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya dalam aspek kebajikan dan kekeluargaan.
Beliau berkata, antara inisiatif yang mendapat sambutan ialah Program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) yang bertujuan membantu golongan muda berpendapatan rendah mendirikan rumah tangga.
“Sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan Program Anggun Suri tahun ini. Saya mengajak pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga supaya membuat permohonan dan tidak melepaskan peluang yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Masih ada kekosongan yang boleh diisi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Exco Talk bersempena Karnival Aspirasi Pahang1st Raub yang diadakan di Kampung Gali Tengah, di sini hari ini.
Terdahulu, hari kedua Karnival Aspirasi Pahang1st Raub dimulakan dengan Aspirasi Aerobathon Pahang1st yang disertai penduduk setempat, sebelum diteruskan dengan sesi Exco Talk.
Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Aerobathon serta tiga hadiah cabutan bertuah kepada peserta bertuah.
YB. Dato’ Sabariah turut meluangkan masa meninjau reruai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut mengambil bahagian dalam karnival tersebut bersama beberapa agensi kerajaan lain. -PAHANGMEDIA