Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 18 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menggunakan data dan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penggunaan data ini perlu ketika membuat sesuatu keputusan.
“Data itu sangat penting dalam kehidupan seharian kita bukan sahaja untuk individu tetapi untuk kerajaan, untuk kita membuat keputusan.
“Sebagai contohnya Kerajaan Negeri Pahang akan membentangkan bajet pada akhir tahun ini di mana kita bercadang untuk memberi bantuan untuk urusan pengkebumian. Jadi kita kena tahu ada berapa ramai lebih kurang.
“Jadi melihat pada data yang ada, kita ada 9,300 orang setahun yang meninggal dan dari angka tersebut kita boleh buat bajet, kita boleh tentukan berapa yang kita nak bagi dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga akan mengagihkan buku Statistik Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada penghujung November ini.
Mengulas mengenai penganugerahan daerah bahagia oleh Lipis dan Raub, beliau turut menyasarkan sekurang-kurangnya empat daerah di negeri ini akan dinobatkan pada penyenaraian akan datang.
“Sekarang ini ada dua, saya bagitahu kepada semua DO (Pegawai Daerah), YDP (Yang DiPertua), kita jangan berpuas hati dengan dua sahaja, kita nak tambah lagi.
“Saya tidak memilih mana-mana daerah tapi saya harap semua daerah berusaha supaya dapat menambahkan daerah. Sekarang ini daerah Raub dan Lipis, dapat tambah lagi daerah lain disamping kita kekalkan daerah bahagia Raub dan Lipis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Statistik Negara Dan Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan di Dewan Laman Sejahtera, Sungai Koyan.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; dan Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin. -PAHANGMEDIA