Oleh : Norhafizan Zulkifli
RAUB, 18 OKTOBER 2025 : Pahang merancang untuk menganjurkan Himpunan Perguruan Silat Nusantara tahun hadapan sebagai usaha memperkukuh seni warisan Melayu serta menarik minat generasi muda terhadap ilmu persilatan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, himpunan itu bakal menghimpunkan perguruan silat dari seluruh Malaysia, selain turut menjemput penyertaan dari negara serumpun seperti Indonesia.
“Kita serumpun, seni budayanya hampir sama. Dan seni mempertahankan diri khususnya silat ini diwarisi dari turun-turun yang menjadi kebanggaan kita diwariskan dari generasi ke generasi.
“Dan mungkin selama ini tak pernah kita buat besar-besaran, kali ni saya berhasrat untuk menggerakkan usaha ini.
“Saya akan dapatkan persetujuan daripada Kerajaan Negeri Pahang khusus bagi nak menggalakkan anak muda di bumi Pahang ini agar melengkapkan diri mereka dengan ilmu persilatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir memeriahkan Himpunan 500 Pendekar bersempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Raub yang diadakan di Kampung Gali Tengah, di sini, hari ini.
Tambahnya, penganjuran peringkat Nusantara itu juga akan diserikan dengan pameran senjata tradisional Melayu seperti keris, parang, pedang, pisau dan badik bagi menonjolkan keunikan seni pertukangan masyarakat Melayu.
“Orang Melayu kaya bakat sebagai penempa senjata. Mungkin sebelum ini belum pernah diadakan pameran berskala besar, jadi kita mahu realisasikan perkara ini dengan sokongan Kerajaan Negeri Pahang,” jelasnya.
Menurutnya, inisiatif itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menggalakkan golongan muda melengkapkan diri dengan ilmu persilatan dan memahami sejarah perjuangan bangsa Melayu yang berakar daripada semangat silat.
“Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sendiri pernah bertitah supaya anak muda negeri ini tidak lembik. Justeru, kita akan terus melaksanakan program yang dapat memperkukuh jati diri mereka, termasuk melalui aktiviti persilatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, YB. Tuan Fadzli turut menzahirkan kebimbangan terhadap perguruan silat yang semakin terpinggir, dan berharap lebih banyak usaha digerakkan untuk menghidupkan kembali seni mempertahankan diri tersebut.
“Banyak perguruan silat yang telah terkubur. Saya amat berharap dapat membantu untuk membugarkan semula seni silat yang sebenarnya cukup hebat dan disegani di mata dunia,” ujarnya.
Himpunan 500 Pendekar kali ini turut menyemarakkan budaya Melayu melalui galakan pemakaian tanjak dan kain sarung dalam kalangan peserta dan pengunjung, sebagai usaha menghidupkan kembali tradisi lama yang semakin dilupakan.
“Indah sebenarnya budaya bertanjak dan berkain sarung ini. Program seperti ini kita akan teruskan dari semasa ke semasa bagi memupuk dan memperkukuh seni budaya dalam kalangan anak muda,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA