Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 18 OKTOBER 2025 : Jumlah kemasukan kenderaan ke Pantai Timur dijangka meningkat sehingga 130 peratus menjelang sambutan Perayaan Deepavali tahun ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, peningkatan ini dijangka berlaku di Lebuh Raya Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) pada 20 Oktober ini.
“Trafik anggaran jumlah kenderaan tertinggi adalah pada hari Isnin, 20 Oktober. Dimana pada hari tersebut anggaran pihak AFA Prime Berhad untuk LPT 1 berjumlah 95 ribu kenderaan berbanding dengan purata hari biasa iaitu 41 ribu. Itu peningkatan sebanyak 130 peratus.
“Manakala di KLK peningkatan trafik pada hari tersebut sebanyak 198 ribu berbanding dengan hari biasa iaitu 110 ribu dan hari ini dah kita nampak peningkatan trafik dah mula bertambah.
“Kalau mengikut bancian yang dibuat dalam tempoh 17 hingga 22 Oktober ni untuk LPT 1 jumlah kenderaan 410 ribu manakala di KLK berjumlah 1.05 juta kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Deepavali Tahun 2025 anjuran Jabatan Penganjutan Jalan Raya (JPJ) bertempat di Plaza Tol Gambang, semalam.
Hadir sama, Pengarah JPJ Pahang, YBrs. Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melancarkan Op Lancar bagi memastikan kawalan trafik dan keselamatan pengguna di LPT 1 terkawal sepanjang musim perayaan ini.
“Dari segi keselamatan pihak PDRM pun ada menjalankan Op Lancar bermula 17 Oktober hingga 22 Oktober dan untuk melancarkan kenderaan, pihak konsesi ada mengeluarkan cadangan waktu perjalanan pada 18 Oktober dan 20 Oktober.
“18 Oktober ini adalah sebelum hari perayaan. Kita mengeluarkan dua cadangan yang daripada Kuala Lumpur ke Pahang, Terengganu dan Kelantan dan begitu juga pada 20 Oktober yang nak masuk balik ke Kuala Lumpur, kita sudah beri cadangan pada sebelah bagi pagi dan malam.
“Op Lancar bukan hanya sekadar di lebuh raya tapi di jalan perseketuan dan jalan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati pada musim Perayaan Deepavali.
“Sempena Hari Deepavali ini, saya menyeru kepada semua pengguna ataupun pemandu-pemandu supaya mematuhi had kelajuan dan papan tanda keselamatan. Yang kedua, tidak memandu dalam keadaan mengantuk dan pengaruh alkohol.
“Yang ketiga. memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan, tidak menggunakan telefon bimbit dan sentiasa berhemah dan bertolak ansur di jalan raya. Jadi ingatlah keselamatan jalan raya bermula pada diri sendiri,” katanya. -PAHANGMEDIA