Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 17 OKTOBER 2025 : Sebanyak 11,853 bayi kelahiran baharu di negeri Pahang telah menerima manfaat di bawah Program Permata Makmur sejak ia dilaksanakan pada Januari tahun lalu hingga 1 Oktober ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.96 juta yang disalurkan melalui akaun Simpan SSPN Prime.
Sehingga September 2025, jumlah keseluruhan terimaan deposit Simpan SSPN di negeri Pahang direkodkan sebanyak RM634.54 juta dengan 387,408 akaun telah dibuka.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, berkata kerjasama berterusan antara PTPTN dan Kerajaan Negeri Pahang ini mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan dan budaya menabung.
“Usaha ini mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam menyantuni masyarakat Pahang, khususnya dalam aspek simpanan dan pendidikan.
“Alhamdulillah, saya difahamkan bahawa program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan sejak diperkenalkan,” katanya ketika merasmikan Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2025 yang diadakan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini.
Katanya, melalui program tersebut, PTPTN menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada 50 kelahiran bayi baharu pada bulan Oktober 2025, merangkumi RM100 bagi pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN Prime serta hamper barangan bayi bernilai RM100 bagi setiap penerima. Program ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Dato’ Seri Norliza turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa di negeri Pahang yang sentiasa komited dalam membuat simpanan untuk masa depan pendidikan anak-anak.
“Tahniah kepada masyarakat negeri Pahang kerana menjadi superhero kepada anak-anak melalui usaha menabung secara konsisten dalam Simpan SSPN.
“Jadikanlah Simpan SSPN sebagai simbol amanah dan kasih sayang ibu bapa dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak,” ujarnya.
Untuk makluman, Program Permata Makmur merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama strategik PTPTN yang bermula pada tahun 2024.
Melalui program ini, setiap bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan di negeri Pahang pada tahun 2025 akan menerima bantuan one-off berjumlah RM300, dengan syarat ibu atau bapa berusia 16 tahun ke atas.
Daripada jumlah tersebut, RM250 disalurkan melalui pembukaan atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala baki RM50 diberikan dalam bentuk barangan bayi.
Maklumat lanjut dan permohonan bagi Program Permata Makmur boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi permatamakmur.pahang.gov.my. -PAHANGMEDIA