Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 17 OKTOBER 2025 : Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang di Pejom merupakan kediaman PR1MA pertama yang dilengkapi sistem solar serta meter pintar.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis, pemasangan sistem solar ini selari dengan aspirasi Negeri Hijau Pahang yang menekankan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).
“Solar ini dibangunkan oleh Living Stone Sdn. Bhd. kerjasama dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad) dengan sistem solar jenis 2.4 kilowatt (Kw) dan meter pintar. Ini salah satu perintis awal di Kampung Tempoyang ini.
“Saya berpendapat bahawa ini satu pemikiran yang bijak dan ini adalah kebaikan untuk masa mendatang kepada rakyat Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata projek ini juga dijangka akan diperluaskan ke projek-projek perumahan Kerajaan Negeri Pahang selepas ini bagi memastikan kesemua projek dijalankan lebih lestari, efisien tenaga, dan mesra alam sekitar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Makmur Kuala Lanar dan Majlis Pelancaran Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Penjom mewakili YAB. Menteri Besar Pahang di Tempoyang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, pemasangan sistem solar di projek perumahan ini juga dapat menjimatkan kos pemilik dalam jangka masa panjang.

“Mengikut kajian kita bil lebih kurang RM500 sebulan tanpa solar. Bila kita masuk solar ini, kita akan jimat half (bayaran bil). Half ini maknanya kalau RM200, RM300 sebulan tu, lebih kurang dalam RM10,000 penjimatan yang akan diperolehi setahun.
“Kalau RM10,000 itu dah Return of Investment (RoI) kepada merek dan seterusnya. Maknanya dari segi penambahan pendapatan itu penjimatan kos kehidupan akan bertambah kepada mereka ini dan bila dah habis bayar solar ini akan ada lagi penambahan pendapatan.
“Dan Kerajaan Negeri akan setiasa menambahbaik apa-apa insentif yang akan dapat meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat dan meringankan lagi beban kewangan untuk rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

