Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 14 OKTOBER 2025 : Seramai 275 peserta daripada 11 buah sekolah di bawah Wilayah Mempaga menyertai Program Kem Jati Diri Koi Waris Felda yang berlangsung di Dewan Mempaga 1, Felda Mempaga 1, di sini hari ini.
Program yang julung kali diadakan ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang melalui Sekretariat Muafakat Felda dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) bagi memupuk semangat jati diri dalam kalangan anak-anak dan cucu warga Felda.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, kem terbabit merupakan antara usaha berterusan untuk memperkukuh kefahaman generasi muda terhadap sejarah penubuhan, peranan serta hala tuju Felda masa kini.
“Walaupun dalam masa yang singkat, kita membuat pengisian iaitu menerangkan bagaimana keadaan Felda, penubuhan Felda sehingga bagaimana hala tuju Felda di masa akan datang. Jadu ini antara intipati yang kita nak berikan kepada anak-anak Felda, cucu-cucu Felda.
“Mungkin generasi yang hadir hari ini ialah generasi yang ketiga, keempat dan ke atas. Maksudnya kita kena menerangkan elemen-elemen keberadaan Felda dan juga elemen-elemen kesyukuran di dalam Felda ini.

“Ini dapat kita tafsirkan melalui kaedah secara pertemuan-pertemuan bersama dengan anak-anak ataupun cucu-cucu Felda yang ada pada hari ini, insyaAllah.,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis berkenaan di sini hari ini.
Difahamkan, penganjuran program terbabit melibatkan tiga wilayah utama Felda di Pahang iaitu Wilayah Jengka yang telah berlangsung di Dewan SMK Jengka Pusat pada 9 Oktober lalu, Wilayah Mempaga pada hari ini dan Wilayah Kuantan pada hari esok yang akan berlangsung di Felda Chini, Kuantan.
YB. Dato’ Amizar juga berkata, bagi Wilayah Jengka melibatkan 10 buah sekolah manakala bagi Wilayah Kuantan melibatkan 15 sekolah di mana program seumpama itu dijangka akan diteruskan lagi du masa akan datang.
“Setakat ni kita nampak momentum dia bagus sebab pelajar-pelajar ini, anak-anak Felda dan cucu Felda ini perlu ditambah nilai selain daripada akademik.
“Jadi dia kena ada pengisian jati diri. Dia kena kenal pasti dan kena tahu dia itu anak Felda dan kita nak beritahu dia kenapa Felda ini wujud pada zaman dahulu sampai hari ini bagaimana ‘sustainable’ Felda ini dapat diwarisi oleh generasi-generasi akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, program terbabit juga menjadi platform bagi Kerajaan Negeri, JPNP dan pihak Felda menilai tahap pencapaian akademik pelajar di kawasan tanah rancangan serta menambah baik strategi bagi memperkasa komuniti Felda secara menyeluruh.
“Kita ambil dulu tim yang mana yang memang aktif, yang memang bergerak di lapangan. Jadi kita akan melihatlah mereka ini boleh tak menjadikan kawasan sekolah mereka itu menjadi yang lebih baik.
“InsyaAllah ini antara intipati Kerajaan Negeri dengan kerjasama JPNP untuk menaikkan taraf bangsa kita, tidak lain tidak bukan akademiklah yang akan membantu untuk melonjakkan lagi mereka semua, insyaAllah,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

