Urusetia sedang melaksanakan persiapan tempat dan raptai yang diadakan pekarangan Tapak Pekan Sehari Dong, Raub

5,000 PENGUNJUNG DIJANGKA BANJIRI KARNIVAL KITA MADANI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah

RAUB, 21 JULAI 2023 : Seramai 3,000 hingga 5,000 pengunjung dijangka membanjiri Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang 2023 yang akan berlangsung pada esok di pekarangan Tapak Pekan Sehari Dong di sini.

Pemangku Pengarah Penerangan Negeri Pahang, YBrs Encik Mazli Hamdan berkata, majlis yang julung kali diadakan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong ini akan bermula seawal 8 pagi hingga 6 petang.

“Kita melibatkan seramai 27 agensi termasuklah dua yang melaksanakan Jualan Rahmah yang terdiri daripada Koperasi FELDA Tersang 3 dan juga Pasaraya TF di bawah Kementerian Hal Ehwal Pengguna.

“Masyarakat setempat boleh membeli barangan dapur dan juga barang-barang basah dengan harga yang lebih murah yang ada di pasaran ketika ini,” katanya ketika ditemui semasa persiapan tempat dan raptai yang diadakan pekarangan Tapak Pekan Sehari Dong, petang tadi.

Karnival Kita Madani ini turut menyediakan kaunter-kaunter daripada pelbagai agensi termasuklah syarikat perbankan, pameran telco-telco seperti Maxis, Celcom-Digi, U-Mobile dan Astro.

Selain itu, turut diadakan sukaneka, senamrobik, flag-off TM Mini Pakej Perpaduan yang ditawarkan khusus untuk masyarakat setempat di samping Pelancaran Kembara TM.

Bagi pengunjung wanita, turut diadakan pertandingan memasak manakala kanak-kanak pula boleh menyertai pertandingan mewarna yang dianjurkan selain cabutan bertuah yang menawarkan hadiah bernilai berupa motosikal, barangan elektrik dan sebagainya.

Orang ramai yang berkunjung juga berkesempatan menyaksikan persembahan nyanyian daripada dua artis jemputan iaitu Afieq Syazwan dan Tajul yang akan membuat persembahan ketika majlis perasmian pada petang esok.

Menurut Encik Mazli, pihak penganjur melaksanakan kepelbagaian aktiviti bagi memastikan ianya bersesuaian untuk kunjungan seisi keluarga.

Majlis Perasmian Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang 2023 ini dilaksanakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya menyeru kepada semua penduduk di sekitar Dong dan Raub ini bersama-sama berkunjung ke Karnival Kita Madani pada 22hb Julai 2023, hari Sabtu daripada 8 pagi sehingga 6 petang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram