Oleh : Norhafizan Zulkifli
MARAN, 20 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli merasmikan Program Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) sempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Negeri Pahang bertempat di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

Keberangkatan tiba Paduka Baginda disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan.

Paduka Baginda dalam titahnya menzahirkan rasa terharu dengan kehadiran lebih 500 pejuang kepulihan yang hadir menyertai program tersebut sebagai simbol kekuatan dan semangat baharu untuk menempuh kehidupan.
“Tahniah dan syabas, rasa bangga diri saya bersama anda semua. Sebab saya nak hadir di satu program berkaitan dengan dadah bersama dengan mereka yang telah dipulihkan.

“Sesungguhnya, setiap langkah saudara dan saudari ke arah pemulihan ini adalah satu kemenangan. Awak telah menang satu jihad hari ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa dadah tidak pernah membawa kebahagiaan, sebaliknya merupakan janji palsu yang meragut masa depan insan serta menghancurkan keluarga dan masyarakat.

“Saya percaya, selagi hayat dikandung badan, harapan sentiasa ada. Saya mahu setiap insan yang pernah terjerumus diberi peluang kedua; untuk bangkit, berubah, dan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat, agama dan negeri,” titahnya lagi.
Paduka Baginda dalam masa sama turut menzahirkan impian agar Negeri Pahang menjadi negeri contoh dalam usaha membanteras dadah dengan melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki kekuatan jasmani, keluhuran akhlak dan keteguhan iman.

Paduka Baginda turut menekankan bahawa usaha pemulihan perlu berasaskan kasih sayang dan penuh keinsafan, kerana setiap insan yang menyesali kesilapan layak diberi ruang untuk membina kehidupan baharu. -PAHANGMEDIA

