Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 11 OKTOBER 2025 : Lebih 3,000 peserta hadir memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 peringkat Negeri Pahang yang berlangsung meriah di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis, hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penganjuran HSN peringkat negeri kali ini merupakan penganjuran julung kali diadakan di daerah ini.

“Dan ini adalah julung-julung kali diadakan di daerah Lipis. Saya ucapkan terima kasih kepada semua orang Lipis yang dapat hadir pada hari ini.
“Nampaknya orang lebih bersemangat pada pagi ini. Penyertaan pun agak ramai walaupun hari ini hari cuti,” katanya kepada media selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad; serta barisan pimpinan setempat.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, sambutan HSN terbabit memberi impak positif di mana ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti seperti larian 10 kilometer (km), 5km dan 3km, malah memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menjana pendapatan dengan berniaga dalam program berkenaan.

“Bukan sahaja kepada masyarakat malah kepada individu kerana ini adalah untuk untuk kesihatan kita pagi-pagi kita dah boleh jogging.
“Dan masyarakat setempat terutama mereka yang berniaga boleh mengambil peluang berniaga dan orang boleh datang dan mereka dapat melihat sendiri pameran ataupun produk-produk yang ada di Lipis.
“Sementara itu kita boleh melihat juga gerai-gerai daripada agensi-agensi kerajaan,” katanya lagi.

Beliau turut berharap program berbentuk riadah seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan bagi memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Program sambutan HSN turut diadakan serentak di seluruh daerah di Negeri Pahang dengan Lipis menjadi lokasi induk bagi peringkat negeri tahun ini. -PAHANGMEDIA

