Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 11 OKTOBER 2025 : Pelaksanaan Program Anggun Suri tahun ini menyaksikan jumlah daerah terlibat diperluaskan daripada hanya tiga daerah pada tahun lalu kepada 10 daerah pada tahun ini.
Ia sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh institusi kekeluargaan dan kebajikan rakyat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peluasan program berkenaan menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memastikan manfaat program ini dapat dinikmati oleh lebih ramai pasangan di seluruh negeri.
“Hari ini adalah program Anggun Suri di mana 10 pasangan pengantin kahwin secara beramai-ramai yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri kecuali duit mas kahwin.
“Tahun lepas kita cuma buat tiga daerah saja. Tahun ni 10 daerah dan insya-Allah pada tahun depan kita akan tambah lagi.
“Hari ini kita nampak 10 pasangan. Kemungkinan tahun depan kita buat buat lebih lagi daripada 10 pasangan.,” katanya ketika ditemui dalam Program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) bertempat di Laman Sejahtera Sungai Koyan, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri beliau yang juga merupakan Yang DiPertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI), YABhg. Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Burhah Mohammed; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; ketua jabatan dan barisan pimpinan setempat.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, Program Anggun Suri merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu pasangan muda melangsungkan perkahwinan tanpa terbeban dengan kos yang tinggi di samping memperkukuh pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pengantin yang dapat melangsungkan perkahwinan pada hari ini dan Alhamdulillahh syukur kepada Allah rata-rata melahirkan rasa syukur terima kasih kerana mereka dapat melangsungkan perkahwinan lebih cepat daripada yang sepatutnya.
“Dan ini adalah satu usaha Kerajaan Negeri kerana selain daripada usaha meningkatkan ekonomi, fizikal, pembangunan negeri, tetapi kita tidak lupa kepada kebajikan masyarakat, pembangunan modal insan supaya mereka dapat cepatmelangsungkan perkahwinan, boleh memulakan kehidupan baru,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut berpesan kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga pada hari ini dapat membina keluarga yang bahagia dan harmoni, sekali gus menjadi asas kepada masyarakat makmur di Negeri Pahang.
“Dan ini secara tidak langsung memudahkan juga boleh hadir ke majlis perkahwinan 10 pasangan dalam masa sehari serentak. Kalau tidak, tidak mungkin saya boleh hadir ke 10 tu. Mungkin satu dua saya boleh hadir kerana kekangan tugas dan sebagainya.
“Dan inilah… kita berusaha sedaya mungkin untuk membantu rakyat dalam apa sudut sekalipun. Masuklah perkahwinan beramai-ramai,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan, bagi setiap pasangan pengantin menerima sumbangan sebanyak RM300 daripada Kerajaan Negeri sebagai tanda kasih dan penghargaan.
Dalam pada itu, secara keseluruhannya, Program Anggun Suri 2025 melibatkan 100 pasangan pengantin dari 10 daerah, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 juta disediakan oleh Kerajaan Negeri.-PAHANGMEDIA

