Oleh: Norhafizan Zulkifli
PUTRAJAYA, 9 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang merakamkan penghargaan kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) atas kejayaan memacu pelaburan direalisasi berjumlah RM5 bilion serta pelaburan komited sebanyak RM3.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan tersebut membuktikan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan destinasi pelaburan berdaya saing di rantau ini.
Beliau berkata, jumlah pelaburan direalisasi itu mewakili 90 peratus daripada sasaran ECERDC iaitu RM5.6 bilion bagi tahun 2025.

“Pelaburan direalisasi ini mewakili 90 peratus daripada sasaran ECERDC iaitu RM5.6 bilion bagi tahun 2025, diterajui oleh sektor pembuatan (41 peratus), minyak dan gas (34 peratus) serta perkhidmatan (25 peratus).
“Secara keseluruhan, ia telah mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pelaburan komited berjumlah RM3.9 bilion pula menumpukan kepada sektor pembuatan sebanyak 95 peratus dan sektor pertanian sebanyak lima peratus
“Pelaburan ini dijangka menghasilkan 3,185 peluang pekerjaan tambahan setelah direalisasikan sepenuhnya,” katanya lagi.
Beliau juga memaklumkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang yang berlangsung di Putrajaya hari ini, dua acara penting turut diadakan iaitu pertukaran dokumen pelaburan antara ECERDC dengan empat syarikat utama bernilai RM1.6 bilion, serta penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Katanya lagi, empat syarikat yang menandatangani perjanjian pelaburan tersebut ialah PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn. Bhd. yang akan menubuhkan Pusat Data AI; Sinolion Wheels Technology Sdn. Bhd. yang menghasilkan rim roda aloi aluminium; Malaysian Solar Resources Sdn. Bhd. yang membangunkan kilang pembuatan teknologi hijau; dan Lionphos Sdn. Bhd. yang menghasilkan fosfat gred makanan serta gred elektronik.
Beliau mewakili Kerajaan Negeri juga turut mengalu-alukan penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang yang menandakan kemajuan penting dalam bidang ekopelancongan dan pemuliharaan biodiversiti.
“Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha ECERDC dalam menjayakan pelaburan
strategik bernilai tinggi yang sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st demi pertumbuhan mampan, inovasi dan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat negeri ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

