Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 09 OKTOBER 2025 : Produk keluaran Negeri Pahang di Pavilion Invest Pahang menarik perhatian pengunjung tempatan dan antarabangsa pada Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 kali ini.
Menurut Pengurus Latihan Teknikal Yayasan Pahang, Puan Nani Masnidah Nordin, 44, penyertaan Yayasan Pahang yang membawa produk retort menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

“Pada sesi SIBS kali ini, alhamdulillah kita dapat sambutan yang sangat baik maknanya daripada masyarakat di luar Pahang. Kita dapat bahawa pengguna-pengguna atau pembeli-pembeli di bandar besar ini lebih tertarik kepada makanan retort ini disebabkan dia mudah.
“Jadi, kita rasa peluang macam ini sangat memberi ruang untuk kita berkembang sebagai satu produk usahawan dibawah Kerajaan Negeri Pahang. Kita dapat meneroka secara terus, business to business dan ada juga pembeli yang baru sama ada dalam negara mahupun diluar negara.
“Pada SIBS ini juga ada beberapa eksporter. Eksporter yang berminat untuk membawa produk ini dijual di pasaran luar, contohnya seperti di China dan sebentar tadi di Afrika Selatan. Jadi, mereka rasa produk retort ini senang dibawa kerana dia tidak perlu penyimpanan yang rumit maksudnya dia hanya simpan di suhu bilik, mudah dibawa dan tahan lama,” katanya

Bagi Puan Zila Md Saud, 52, penyertaan Perbadanan Kerajaan Negeri Pahang (PKNP) Tenun Pahang Soi buat kali kedua ini mendapat sambutan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.
“Sambutan untuk dua hari ini, Alhamdulillah sangat memberangsangkan. Ramai yang datang beli dekat kita punya produk tenun dan yang datang dekat kita punya booth ini lebih daripada 50 orang.
“Kita dah masuk kali kedua, saya rasa tahun ini lagi ramailah yang datang. Mungkin tahun lepas tu kita baru pertama kali jadi orang tak tahu sangat. Yang kali kedua ini orang dah tahu. Kita ada wawarkan juga dalam kita punya media sosial untuk datang kesini,” katanya.

Sementara itu, Encik Faizal Iman Mohd Zakaria, 39, menjelaskan bahawa penyertaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) bertujuan memperkenalkan produk baharu mereka yang menjadi tumpuan utama.
“Alhamdulillah sambutan amat menggalakan, terutamanya ini adalah produk pertama kali kita launch kiranya soft launching. Jadi produk ini kambing perap sebagai produk killer kepada PKPP.
“Kita dapat kenalkan produk kita, dan ini orang kata perkenalkan kepada pihak luar. Di perbadanan sebenarnya ada produk sendiri dimana kita membantu usahawan-usahawan untuk pasarkan untuk menggunakan jenama Dihati.
“Setakat yang kita dapat dekat sini, kita dapat bekerjasama daripada team yang baru kat sini terutama daripada segi packaging dan kita boleh bekerjasama daripada konsultation untuk membuka peluang kita kepada pasar raya,” katanya. -PAHANGMEDIA

