Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 OKTOBER 2025 : 200 keluarga menerima bakul makanan daripada Petronas sempena musim perayaan melalui program Memacu Kehidupan: Deepavali.
Menurut satu kenyataan media oleh Yayasan Petronas, program dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang (JKM) menerusi inisiatif memperkasa komuniti membolehkan penerima merasai keceriaan Deepavali bersama komuniti masing-masing.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, program juga merupakan sebahagian daripada inisiatif PETRONAS untuk meningkatkan taraf kehidupan usahawan Industri Kecil dan Sederhana.
“Program Memacu Kehidupan: Deepavali ini merupakan antara komitmen berterusan PETRONAS, melalui Yayasan PETRONAS, untuk membangkitkan perasaan kegembiraan dan kasih sayang sempena musim perayaan.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membawa keceriaan kepada mereka bersama keluarga tersayang,” katanya.
Dalam program berkenaan setiap keluarga menerima sumbangan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, garam, tepung, kari ayam dalam tin, teh, minuman berasaskan coklat dan malt, serta kekacang.
Selain daripada itu, mereka juga turut menerima makanan bertemakan Deepavali iaitu serbuk briyani masala, tepung campuran kesari dan minyak sapi serta kuih perayaan, seperti murukku, yang disediakan khas oleh peserta program Memperkasakan Kesejahteraan Rakyat (MEKAR).
Kesemua sumbangan ini telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan di dalam satu majlis penyerahan di Cameron Highlands.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Encik Kamarul Iskandar Nordin. -PAHANGMEDIA

