Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2025 : Program Outreach dan Latihan E-Dagang di bawah Program Pembangunan E-Dagang Rentas Sempadan (EBIZLINK) mendapat sambutan menggalakkan apabila penyertaan usahawan Pahang melebihi sasaran ditetapkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, lebih 128 usahawan terlibat berbanding sasaran awal sekitar 80 hingga 100 peserta, sekali gus mencerminkan minat tinggi terhadap strategi pemasaran digital dan pasaran antarabangsa.
“Lebih kurang 128 orang usahawan di Pahang iaitu sasaran awalnya lebih kurang 80 ke 100 orang peserta, tetapi penglibatan hari ini terlalu ramai.
“Saya percaya bahawa mereka mendapat banyak ilmu-ilmu yang telah dikhabarkan oleh pihak MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) bahawasanya mereka tidak keluar dewan dan sampai penghujung mereka mendapat ilmu.
“Program ini memberi pendedahan penting kepada usahawan mengenai kepelbagaian teknologi digital termasuk pemasaran rentas sempadan. Ia membolehkan produk tempatan bukan sahaja dipasarkan di dalam negara malah menembusi pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Outreach dan Latihan E-Dagang di bawah Program Pembangunan E-Dagang Rentas Sempadan (EBIZLINK), selaku wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di The Zenith Hotel, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan.
“Kerajaan Negeri Pahang memang komited untuk membantu usaha ini dan kita pun telah mengadakan bajet lebih kurang RM5 juta yang telah diperuntukkan oleh pihak Kerajaan Negeri.
“Banyak yang kita dah buat saluran antaranya kita buat permohonan produk bersama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan kita bersama dengan Karnival Pahang 1st di seluruh peringkat daerah yang kita telah pun mempromosikan juga mereka ke tahap antarabangsa.
“Inilah antara-antara Kerajaan Negeri Pahang yang kita nak membangunkan produk mereka melalui mereka sendiri. Yang penting usahawan kena bersiap sedia dan insyaAllah perkara itu boleh diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA