Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2025 : Pertandingan Inovasi & Reka Cipta UnIPSAS (PIRCU’25) merupakan satu inisiatif signifikan dengan aspirasi Negeri Pahang dalam memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata pertandingan ini juga memperlihatkan tekad Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) memperkukuh budaya penyelidikan dan penciptaan ilmu.
“Penyertaan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, sama ada para pensyarah universiti, staf sokongan mahupun pelajar, membuktikan bahawa inovasi bukanlah hak eksklusif golongan tertentu, sebaliknya merupakan tanggungjawab kolektif yang boleh digalas bersama.
“Pertandingan inovasi seperti PIRCU’25 ini wajar dilihat lebih daripada sekadar acara tahunan. Ia merupakan platform strategik untuk melahirkan idea baharu, penyelesaian kreatif dan produk inovatif yang berpotensi dikembangkan bagi memenuhi keperluan masyarakat.
“Inovasi tidak semestinya terhad kepada penciptaan produk baharu tetapi juga merangkumi kebolehan kita menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan, menambah baik proses sedia ada serta memberikan nilai tambah kepada kehidupan seharian,” katanya.
Tambah beliau, inovasi juga boleh menjadi jambatan dalam menghubungkan khazanah tradisi dengan arus kemodenan yang dapat meningkatkan daya saing negeri ini pada peringkat lebih tinggi.
“Saya yakin bahawa hasil inovasi yang dipamerkan pada hari ini mampu memperkukuh reputasi UnIPSAS sebagai pusat kecemerlangan ilmu, serta memberikan impak besar kepada masyarakat.
“Produk atau idea yang berasaskan penyelidikan boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, sama ada dalam bidang pendidikan, kesihatan, teknologi, mahupun ekonomi.
“Malah, saya percaya sebahagian inovasi yang lahir daripada pertandingan ini boleh dikembangkan menjadi produk komersial atau inisiatif komuniti yang berimpak tinggi, sekaligus membawa manfaat jangka panjang kepada Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Inovasi & Reka Cipta UnIPSAS (PIRCU’25) di Dewan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) yang turut dihadiri Naib Censelornya, YH. Professor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin. -PAHANGMEDIA