Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan enam pingat emas dalam Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-22 di Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata sasaran ini melibatkan tiga jenis sukan yang disertai oleh 36 atlet.
“Kita bertanding dalam sukan boling, futsal, dan juga olahraga dan kita letakkan sasaran enam emas. Sebelum ini pada 2023 di Kuala Lumpur kita telah berjaya memperoleh tiga emas.
“Saya yakin atlet-atlet Pekak Pahang ini juga mampu mencapai kejayaan yang sama dengan atlet para SUKMA pada tahun lepas,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang ke Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-22 Sarawak di Hotel Seri Malaysia.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang memberikan sokongan penuh penglibatan atlet kurang upaya ini melalui peruntukkan yang disalurkan bagi pembangunan sukan golongan tersebut.
“Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM61,440 bagi menyokong penyertaan kontinjen Pahang ke SOPMA Ke-22 di Sarawak.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memajukan sukan inklusif dan memberi peluang kepada atlet golongan kurang upaya untuk bersaing di peringkat kebangsaan.
“Penyerahan bendera hari ini juga bukan sekadar satu upacara simbolik, ia cerminan kepercayaan Kerajaan Negeri terhadap bakat, pengorbanan dan kerja keras para atlet golongan kurang upaya,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri kini sedang giat mencari bakat baharu bagi Para Sukma Pahang yang akan datang dan menyeru para atlet kurang upaya menghadiri pencarian ini. -PAHANGMEDIA