Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2025 : Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 (Budi Madani RON95) di Pahang menerima respon positif apabila rata-rata pengguna melahirkan rasa puas hati terhadap inisiatif tersebut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang, rakyat dilihat menyambut baik pelaksanaan ini kerana ia memberi manfaat langsung dalam mengurangkan kos sara hidup.
“Hari ini saya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) telah memantau satu Kuantan. Jadi, dari segi keadaan kita nampak kawalan ini memang berfungsi dan rakyat terima apa yang kerajaan telah laksanakan.
“… dengan subsidi yang ada sekarang, kita bagi RM1.99 ini, dikatakan boleh jimatkan RM2.50 sehingga RM4 billion satu tahun. Bagi saya, subsidi ini berjalan dengan lancar dan ramai rakyat ucap terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif yang begitu baik sekali untuk rakyat.
“Saya juga minta setiap stesen mungkin kena ada penjaga untuk pantau dan tolong pengguna diluar cara penggunaannya,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 di beberapa stesen minyak sekitar Kuantan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru syarikat yang layak menggunakan diesel bersubsidi agar segera mendaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
“Berdasarkan rekod kerajaan, terdapat lebih 100,000 syarikat di seluruh Malaysia yang layak menggunakan fleet card (diesel bersubsidi). Namun, sehingga kini hanya sekitar 15,000 syarikat sahaja yang telah berdaftar, iaitu kurang daripada 10 peratus.
“Justeru, saya menyeru syarikat yang menggunakan fleet card supaya segera mendaftar dengan KPDN kerana jika tidak berbuat demikian, mereka akan mengalami kerugian,” katanya.
Program Budi Madani RON95 (BUDI95) merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menyalurkan subsidi petrol dan diesel secara lebih bersasar kepada rakyat Malaysia yang layak. Melalui kaedah ini, ketirisan dapat dikawal dan penjimatan hasil subsidi dapat digunakan semula bagi membantu golongan yang memerlukan serta menyokong agenda pembangunan negara. -PAHANGMEDIA