Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
PULAU PINANG, 28 SEPTEMBER 2025 : UCYP University mengorak langkah sebagai peneraju dalam profesionalisasi pendidikan tahfiz melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi pelaksanaan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran.
Majlis pertukaran MoU yang disaksikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ini berlangsung bersempena Program Persidangan S-GLC Pahang 2025 bertempat di Bertam Resort & Water Park, di sini.
Dokumen persefahaman ditandatangani oleh Naib Canselor UCYP University, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain, dan Pengarah Darul Quran JAKIM, Tuan Haji Mohd Ansarullah Mohd Hashim, manakala pertukaran dokumen disempurnakan sebagai simbolik pelaksanaan kerjasama.

Pemeteraian MoU ini merupakan kesinambungan agenda Yayasan Pahang dalam memartabatkan pendidikan tahfiz sehingga ke peringkat pengajian tinggi menerusi Program Pensijilan Tahfiz Profesional UCYP University.
Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur berkata, usaha ini memastikan pendidikan tahfiz dibangunkan secara profesional seiring dengan sistem pendidikan tinggi negara.
“Di Pahang misalnya, pendidikan tahfiz amatlah popular dan ramai ibu bapa yang mahu anak-anak mereka masuk kepada sekolah-sekolah tahfiz.
“Kalau kita lihat dari pengajaran ini atau pendidikan ini, ianya menjurus pada apa yang dikehendaki oleh kerajaan pusat iaitu STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
“Jadi kita menyahut seruan kerajaan Persekutuan dan pada masa yang sama, kita memastikan bahawa STEM akan terus menjadi subjek popular kepada generasi muda kita.” katanya.

Tuan Haji Mohd Ansarullah pula berkata, sasaran kerajaan adalah untuk melahirkan hafiz profesional, bukan sekadar menghafal al-Quran, tetapi turut menguasai bidang seperti kejuruteraan, ekonomi, bahkan penerbangan dan gabungan kepakaran UCYP akan memperkukuh sasaran terbabit.
Dato’ Dr. Muhammad Fauzi pula berkata, pelajar yang terpilih dalam program ini terdiri daripada lepasan tahfiz terbaik dengan pencapaian akademik cemerlang.
“Mereka menjalani setahun pengukuhan hafazan sebelum meneruskan pengajian profesional dalam bidang seperti kejuruteraan perisian, pengurusan, dan teknologi kecerdasan buatan (AI) selama tiga tahun.
“Selepas itu, penilaian semula dilakukan oleh Darul Quran bagi pemberian syahadah 30 juzuk. Mereka akan bergelar huffaz profesional dengan ijazah,” katanya.
Menurutnya, batch pertama program ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Pahang Plantation Holdings (YPPH) dengan kos RM60,000 seorang bagi tempoh empat tahun pengajian.-PAHANGMEDIA

