Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
PULAU PINANG, 27 SEPTEMBER 2025: Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan untuk melahirkan 400 syarikat pemula (startup) serta menyediakan 5,000 peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2030 menerusi peluncuran Pahang Startup Roadmap 2030.
Peluncuran tersebut dilakukan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersempena Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Bertam Resort & Water Park, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, roadmap terbabit akan menjadi pemacu baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri dengan sasaran menambahkan RM2 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang menjelang 2030.
“Alhamdulillah sejak 2022 kita dah ada beberapa program antaranya Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) yang mana dalam program bimbingan ‘accelerator’ ini kita telah berjaya membimbing 79 startups yang telah pun menjadi graduan program ini.
“Dan lima diantara 79 tersebut mempunyai nilai syarikat lebih USD1 bilion. Sebagai contoh syarikat Qarbotech yang turut serta. Nilai mereka RM40 juta dan saya difahamkan syarikat-syarikat ‘sovereign wealth fund’ macam Temasek dan juga Khazanah juga berminat untuk melabur ke dalam syarikat ni,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan antara syarikat lain yang juga berjaya dilahirkan melalui program tersebut termasuk Entomal Biotech (RM17 juta), Exploria (RM10 juta), YesHello (RM12 juta) dan C-Mart (RM5 juta).
“Inj menunjukkan startups yang ada di program ini adalah startups yang berkualiti. Dalam ‘blueprint’ ini kita nak perkasakan ekosistem startups.
“Kita juga ingin mengukuhkan sumber kewangan ekosistem pelabur untuk memberi dana kepada syarikat pemula ini, syarikat startups, syarikat yang mempunyai teknologi ataupun inovasi yang berkualiti tinggi.
“Syarikat-syarikat sebagai contoh dulu Google, Grab, Netflix, Nvidia semua ini bermula hidup sebagai startups dan mereka berpotensi untuk perkembangan pesat ataupun berskala dengan begitu pantas dan laju, kita inginkan perkara inj dapat dibangunkan dalam Negeri Pahang, insya-Allah,” ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat melalui PISA yang dibangunkan bersama Yayasan Pahang dan syarikat BEYOND4 sejak 2022.
“Sejak dari itu kita ada 118 graduan yang telah pun ambil kursus dalam program inj. Mereka dapat gaji antara RM3,000 hingga RM6,000 dan telah menjalani kursus seperti SAP (Aplikasi Sistem dan Produk), full stack programming (program pembangunan tumpukan penuh, data analitik, ‘blockchain’ dan kecerdasan buatan (AI) dengan tawaran gaji antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan.
Beliau dalam pasa itu berharap perkara terbabit dapat diperluaskan supaya startups terbabit dapat memberi sumber enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu buat Negeri Pahang.
“…Supaya kita tak bergantung kepada sumber-sumber tradisi semata-mata seperti lombongan, pertanian, sawit dan sebagainya. Sektor-sektor inj penting tapi kita nak pelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi untuk Pahang,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA