Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 10 MEI 2026 : Penganjuran Program Himpunan Generasi FELDA Pahang bersama FELDA Moto Fest 2026 membuktikan Negeri Pahang terus berada dalam landasan kukuh dari segi kestabilan, khususnya dalam memperkasa pembangunan komuniti FELDA di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan menganjurkan program berskala besar itu mencerminkan keyakinan pelbagai pihak terhadap kestabilan pentadbiran negeri.

“Semua program ini dapat dilaksanakan hasil kestabilan politik yang kita nikmati, selain sambutan luar biasa daripada masyarakat. Malah, Pengerusi FELDA juga telah bersetuju untuk mengadakan Sambutan Hari FELDA ke-70 di negeri ini.
“Ini jelas menunjukkan Pahang berada dalam keadaan stabil dan saya yakin sambutan tersebut akan menarik kehadiran ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Himpunan Generasi FELDA Pahang dan FELDA Moto Fest 2026 yang berlangsung di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa menyokong minat dan aspirasi golongan belia, khususnya dalam bidang permotoran yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi kerjasama kerana kita memahami minat generasi muda. Sebab itu kita anjurkan Moto Fest ini, selain turut mengadakan himpunan permotoran di Temerloh sebelum ini.
“Malah, program di Kuantan baru-baru ini berjaya menarik hampir 50,000 pengunjung, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong aktiviti belia,” katanya.. – PAHANGMEDIA

