KUANTAN, 9 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riโayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Mei ini.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 1 tengah hari, Isnin ini sebelum mengadakan pertemuan bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman.
Pertemuan tersebut dijangka menjadi medan pertukaran pandangan serta memperkukuh hubungan erat antara negeri Pahang dan Sabah.

Selepas itu, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dijadual berangkat ke Kundasang sekitar jam 3 petang dan rakyat Sabah yang ingin bertemu serta menyambut keberangkatan baginda boleh menunggu di sepanjang laluan menuju ke daerah berkenaan.
Menerusi ekspedisi tersebut, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku akan mendaki Gunung Kinabalu pada 12 Mei dengan diiringi pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) selain pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ekspedisi Mahkota Borneo itu mencerminkan semangat kepimpinan, disiplin dan ketahanan fizikal tinggi yang sentiasa diterapkan Tengku Hassanal dalam kalangan generasi muda serta pasukan keselamatan negara.
Selain mengukuhkan silaturahim antara Pahang dan Sabah, ekspedisi berkenaan turut menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pendakian Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi negara turut menjadi simbol ketabahan, keberanian dan semangat juang tinggi yang sentiasa dizahirkan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku.-PAHANGMEDIA

