Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
PULAU PINANG, 27 SEPTEMBER 2025 : Aplikasi PahangGo mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai aplikasi Kerajaan Negeri yang menawarkan perkhidmatan mudah alih dengan ciri terbanyak (Most Features States Government Mobile Aplications).
Pengiktirafan berprestij itu disampaikan menerusi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sempena Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2025 di Bertam Resort & Water Park, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Pengerusi PahangGo berkata, pencapaian tersebut membuktikan usaha kerajaan negeri dalam mendigitalkan perkhidmatan telah menunjukkan hasil yang membanggakan.
“Kita telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record kerana PahangGo telah mewujudkan pelbagai-bagai aplikasi untuk dalam menggunakan Perkhidmatan kerajaan.
“Sebagai contohnya dalam membayar cukai tanah, bayar parking kereta, bayar api, bayar air, dan pelbagai-bagai lagi inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh PahangGo sebagai sebuah agensi yang telah diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Pelan Digital Pahang. Inilah satu usaha yang telah menampakkan keberhasilannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.
Tambah YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin, selain kemudahan perkhidmatan, aplikasi tersebut turut memperkenalkan inisiatif baharu termasuk kerjasama dengan Pusat Kutipan Zakat Pahang bagi membolehkan rakyat menunaikan zakat serta melakukan wakaf secara dalam talian.
“Ini bukan sahaja memudahkan urusan zakat, tetapi turut menyokong pembangunan agama di negeri Pahang. Inilah pendekatan people centric yang menjadi teras aspirasi Pahang1st,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan e-wallet Pahang yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini.
“Akan datang nanti, kita dah hampir untuk melancarkan e-wallet pula… E-wallet Pahang sebagai satu aplikasi baru yang diwujudkan untuk memberi perkhidmatan yang terbaru lah kepada rakyat negeri Pahang.
“Mungkin nama pun juga belum sediakan lagi. Jadi saya cadangkan kepada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Encik Affandi Mohd Isa) untuk mengadakan pertandingan untuk menamakan e-wallet kita inj.. nama sesuai. Saya ingat hujung tahun ni kita akan melancarkan e-wallet Pahang,”katanya lagi.-PAHANGMEDIA