Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 20 SEPTEMBER 2025 : Penjenamaan program Karnival Aspirasi Pahang 1st simbol transformasi, semangat baharu, serta tekad Kerajaan Negeri Pahang dalam melaksanakan agenda pembangunan yang lebih mampan.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penjenamaan daripada Moh Karnival Makmur ini bukan sekadar pertukaran nama, tetapi membawa maksud yang lebih besar.
“Gabungan ketiga-tiga komponen ini menjadikan karnival ini bukan sekadar meriah dengan aktiviti mesra rakyat, malah membawa mesej penting bahawa Kerajaan Negeri turun padang untuk menyantuni, mendengar dan membantu rakyat secara terus.

“Program sebegini juga mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk mendekati masyarakat, menyampaikan dasar serta menyelesaikan masalah rakyat dengan cepat dan berhemah.
“Kita bukan sekadar mahu membina jalan, jambatan atau bangunan, tetapi lebih penting, kita mahu membina keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.
Tambah beliau, melalui gagasan Aspirasi Pahang 1st, Kerajaan Negeri juga mahu memastikan setiap hasil pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat Pahang.

“Aspirasi Pahang 1st adalah gagasan besar negeri. Ia lahir daripada tekad untuk meletakkan Pahang di hadapan dalam segala bidang seperti ekonomi, pendidikan, kebajikan, sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Prinsipnya jelas, di mana Kerajaan Negeri mahu memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus rancak, menarik pelaburan, memperkukuh industri, memperkasa sumber asli dan membuka peluang pekerjaan. Pembangunan mesti seimbang, dari bandar hinggalah ke kawasan pedalaman.
“Pahang tidak boleh lagi berada di belakang. Pahang mesti di hadapan. Dengan Aspirasi Pahang 1st, kita mahu rakyat bukan sekadar mendengar tentang kemajuan, tetapi merasai nikmatnya dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat negeri ini menjadikan gagasan Aspirasi Pahang 1st ini sebagai budaya kerja, pegangan hidup, dan semangat segenap masyarakat.

“Kejayaan sesebuah negeri bukan sahaja terletak di tangan kerajaan, tetapi juga pada sokongan seluruh rakyatnya. Justeru, saya menyeru agar kita semua terus bersama-sama menjayakan Aspirasi Pahang 1st.
“Marilah kita jadikan gagasan ini sebagai budaya kerja, pegangan hidup dan semangat bersama. Dengan adanya kesatuan hati dan tekad yang padu, Insya-Allah Pahang akan terus berada di hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Karnival Aspirasi Pahang 1st Santai Bersama Tok Wan di Padang Orang Ramai Felda Keratong 10 yang turut dihadiri lebih 4,000 pengunjung.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; dan Pegawai Daerah Rompin, Tuan Muhammad Hatta Kassim. -PAHANGMEDIA

