KUANTAN, 13 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah pada jam 8.30 pagi hari ini sempena Ekspedisi Mahkota Borneo.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku memulakan pendakian dari checkpoint Panalaban pada pukul 2.30 pagi sebelum selamat tiba di puncak gunung tertinggi negara itu dalam keadaan cuaca yang baik serta penuh semangat.

Turut mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Kejayaan tersebut mencerminkan semangat ketahanan fizikal, disiplin dan kecekalan tinggi Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dalam menjayakan misi ekspedisi berkenaan.
Ekspedisi Mahkota Borneo turut membawa mesej keberanian, perpaduan serta semangat cintakan alam semula jadi, di samping menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus mencabar kemampuan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Pendakian itu juga menjadi manifestasi komitmen Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dalam mendekati rakyat serta menyantuni komuniti setempat sepanjang program ekspedisi berlangsung.
Terdahulu, Ekspedisi Mahkota Borneo yang disertai Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku merangkumi beberapa pengisian termasuk program santuni rakyat, aktiviti kemasyarakatan serta penjelajahan destinasi ikonik di Sabah dan Sarawak.-PAHANGMEDIA
Sumber : Kesultanan Pahang

