Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 MEI 2026 : Kerajaan Negeri memberi perhatian tehadap permohonan membaiki serta menarik taraf jalan ke Kampung Orang Asli (KOA) Kampung Selimbar, Temerloh demi kemudahan urusan harian penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perkara tersebut telah diutarakan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada pihak berkaitan untuk mendapatkan peruntukan membaikpulih jalan tersebut sebelum ini.
“InsyaAllah kalau tak ada apa aral, Kampung Selimbar ini termasuk dalam salah satu permohonan untuk mendapatkan jalan. Jadi kalau lulus itu insyaAllah orang Kampung Selimbar ini akan dapat peruntukan untuk membaiki jalan.
“Benda itu dalam perhatian kerajaan bahkan YAB. Menteri Besar sendiri membawa perkara ini untuk perhatian pihak atasan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB Tuan Hasan Omar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim dalam pada itu memaklumkan KOA Kampung Selibar merupakan kampung tambahan yang tidak berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan merupakan pecahan daripada perkampungan utama iaitu KOA Bukit Gabang dengan jumlah penduduk seramai 33 orang melibatkan lapan Ketua Isi Rumah (KIR).
Katanya lagi, kerajaan menerusi JAKOA ketika ini memberi keutamaan kepada 264 kampung Orang Asli berdaftar di seluruh negeri untuk penyediaan kemudahan prasarana asas.
Difahamkan bagi negeri ini, sebanyak 13 projek pembinaan jalan dilaksanakan pada 2024 membabitkan kos RM2.5 juta, manakala sembilan projek lagi pada tahun lalu melibatkan RM1.5 juta selain lapan projek yang sedang dalam proses pembinaan bernilai RM2.3 juta bagi tahun ini.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Lepar, YB Tuan Mohd Yazid Mohd Yunus berhubung isu rumah Orang Asli di Pekan yang dirobohkan, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim mengakui kejadian itu berlaku di Kampung Sijar, Mukim Penyor.
Menurutnya, tanah berkenaan milik merupakan tanah milik Perbadanan Setiausahan Kerajaan negeri Pahang (PSK) namun syarikat pemaju yang dilantik untuk memajukan tanah tersebut telah melakukan satu tindakan yang disifatkan sebagai tergesa-gesa.
“Kita dah buat teguran, dan hari ini pun kita panggil, kita minta PSK nasihat mereka kerana telah melakukan satu kegopohan tidak sewajarnya merobohkan rumah orang. Dan kita pun akan adakan pertemuan demi pertemuan untuk membantu masyarakat Orang Asli.
“Jadi benda ini kita terpaksa didik pemaju dan juga orang di luar sana supaya mereka membuat keseimbangan apabila hendak membangunkan sesuatu projek dan sebagainya,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

