Oleh : Norhafizan Zulkifli
MARAN, 20 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar tanah rancangan FELDA dipulihkan daripada dicemari gejala dadah yang semakin berleluasa.
Paduka Baginda dalam titahnya menegaskan agar kepimpinan tertinggi FELDA perlu serta-merta turun padang bagi melihat sendiri permasalahan yang berlaku di tanah rancangan.
“Saya ingin menegaskan supaya pihak pemimpin atasan FELDA harus turun padang dan melihat sendiri masalah yang berkaitan di rancangan FELDA ini dengan serta-merta.
“Tidak salah saya menegaskan jangan kita, pemimpin di atas, sibuk nak buat untung semata-mata, main politik semata-mata, hanya nak menjaga nama semata-mata.
“Be responsible (jadi bertanggungjawab) kerana masalah dadah sudah berleluasa dalam kalangan anak muda,” Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli merasmikan Program Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) sempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak Jengka, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan..
Paduka Baginda turut memaklumkan statistik My-AADK sehingga Julai 2025 merekodkan seramai 4,204 penagih di Pahang, dengan 1,317 orang atau 31.32 peratus daripadanya berasal daripada FELDA di mana di FELDA Jengka sahaja, sebanyak 264 penagih telah dikenal pasti.
“FELDA asalnya adalah lambang kejayaan bangsa dan tanah subur yang membesarkan generasi peneroka dengan darah dan keringat.
“Saya tidak mahu warisan ini terus dicemari gejala hitam. Jangan biarkan FELDA digelar ‘port’ dadah, sebaliknya kembalikan maruahnya sebagai tanah berkat yang melahirkan generasi teguh, berilmu dan berakhlak,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menitahkan supaya tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap dalang, pengedar dan sindiket dadah yang disifatkan sebagai “musang berbulu ayam” kerana merosakkan kehidupan orang lain demi mengaut keuntungan haram.
“Hukuman mesti ditegakkan dengan penuh keadilan, undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan keberanian, dan tindakan hendaklah dijadikan pengajaran agar yang lain tidak berani menjejaki langkah serupa,” titahnya lagi. -PAHANGMEDIA

