Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 18 SEPTEMBER 2025 : Pahang menampilkan produk yang dibawa khas dari setiap daerah bagi menampilkan hasil tempatan ke pentas antarabangsa dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 edisi ke-21.
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin, penglibatan usahawan dari setiap daerah di Pahang bukan sahaja memperkayakan kepelbagaian pameran, malah menyerlahkan kekayaan warisan serta nilai tinggi produk yang diketengahkan.

“Sejak tahun lepas, kita merupakan negeri yang mempunyai pameran paling banyak. Tahun lepas 15 pameran, jadi tahun ini kita ada 20 pameran. Produk utama kita bawakan kali ini seperti ikan patin yang dibekukan, produk daripada Cameron Highlands dan tidak ketinggalan juga tanaman nenas yang diusahakan oleh Kerajaan Pahang.
“Produk-produk ini memang menjadi satu keutamaan yang kita lihat memang dicari-cari oleh pengunjung semasa MIHAS ini berlangsung dan pada tahun ini juga kita membawa satu produk yang baru iaitu fabrik dari Bera.

“Jadi kita membuat pilihan itu agar ianya sama rata dan bagi pihak kerajaan kita inginkan setiap daerah mempunyai wakil, tapi disebabkan tempat terhad, kita cuba juga untuk adakan produk dari setiap daerah maka dari sini kita dapat melihat Pahang memang satu tempat yang kaya dengan warisan dan produk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pavillion Pahang di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa penyertaan Pahang tidak terhad di peringkat tempatan sahaja, malah ia turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa.

“Pada tahun ini juga kita diberi peluang untuk menyertai MIHAS di Shanghai, China, pada tahun lepas kita pergi ke Dubai.
“Tahun ini juga kita mendapat lebih kuota tempat yang mana kita boleh menghantar lebih ramai usahawan ke Shanghai, insyaAllah pada awal November ini yang kita akan bersama-sama dengan usahawan dari seluruh negara dalam mempromosikan barangan halal,” katanya.
MIHAS 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 20 September ini menghimpunkan ribuan pempamer dari seluruh dunia dan Pavilion Negeri Pahang sekali lagi menjadi antara tumpuan utama pengunjung. -PAHANGMEDIA

