Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 8 SEPTEMBER 2025 : MIC dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan yang boleh menimbulkan tafsiran berbeza dalam kalangan rakan komponen Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden UMNO, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia sebagai mengulas tindakan MIC menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini melalui wakilnya, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan.
Menurutnya, langkah tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang, khususnya dalam kalangan UMNO, memandangkan hubungan antara BN dan Bersatu mempunyai sejarah serta cabaran tersendiri.
“Jemputan Bersatu kepada parti-parti komponen BN untuk hadir ke perhimpunan mereka jelas mempunyai implikasi tertentu yang boleh menjejaskan perpaduan dalam BN.
“Justeru, adalah amat penting bagi kita semua sebagai rakan lama untuk lebih berhati-hati dalam sebarang tindakan yang boleh mengundang tafsiran berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
YAB. Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Negeri Pahang menegaskan bahawa UMNO sentiasa konsisten mengutamakan semangat setiakawan dalam BN.
“Malah, di negeri-negeri di mana UMNO mempunyai kedudukan yang lebih baik seperti di Pahang, MIC tetap diberikan tempat yang sewajarnya dan sering dipertahankan atas dasar kebersamaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar MIC bersama-sama UMNO dan parti komponen lain terus memperkukuh BN, membina kembali kekuatan secara kolektif serta tidak memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan BN ketika berdepan waktu sukar.
“Percayalah, hanya dengan semangat muafakat dan kebersamaan, BN akan kembali menjadi wadah yang kuat dan dihormati,” katanya. -PAHANGMEDIA

