Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 8 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang terus memperkukuh sektor pelancongan dengan menganjurkan Jelajah Promosi Pelancongan Pahang ke India 2025.
Program berkenaan akan berlangsung di dua bandar utama India iaitu di Hotel The Royal Plaza, New Delhi pada 24 September dan The Park Chennai pada 26 September ini.
Jelajah ini memberi tumpuan kepada jaringan Business to Business (B2B) yang melibatkan ejen pelancongan, pengusaha industri, syarikat penerbangan serta rakan media dari India. Matlamatnya adalah untuk memperkukuh kerjasama strategik antara industri pelancongan Pahang dan India, di samping membuka peluang kepada penawaran pakej percutian yang lebih menarik dan tersusun.

Pahang akan mempromosikan pelbagai produk pelancongan ikonik, antaranya Bukit Fraser, Genting Highlands dan Cameron Highlands yang terkenal dengan tarikan tanah tinggi; pantai eksotik seperti Cherating dan Pulau Tioman; keunikan Taman Negara berusia lebih 130 juta tahun; serta tarikan ekopelancongan termasuk Lipis Geopark di Merapoh, program konservasi penyu dan pengalaman rail tourism.
Selain pelancongan santai, jelajah ini turut mengetengahkan potensi Pahang sebagai destinasi Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE), lokasi pilihan perkahwinan dan bulan madu, serta pelancongan khusus mengikut minat (niche tourism).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan mempromosikan pelancongan, malah mengeratkan kerjasama serta memperkenalkan keunikan Pahang kepada masyarakat India.
βInisiatif ini bukan sekadar usaha mempromosikan pelancongan, ia adalah tentang membina jambatan, memperkukuh kerjasama dan berkongsi kisah keunikan Pahang dengan masyarakat India.
“Dengan langkah ini, Pahang berhasrat menjadikan negeri tersebut sebagai destinasi pilihan utama pelancong India sejajar Tahun Melawat Malaysia yang akan diadakan pada tahun 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai The Heart of Malaysia,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

