Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli ke Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) bagi mendengar taklimat berhubung penubuhan Universiti Al-Quran.
Keberangkatan Paduka Baginda ke Dewan Senat UniPSAS itu disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Naib Canselor UniPSAS, Profesor Dato’ Dr Hj Mohd Zawavi Zainal Abidin, berkata pihak universiti menjunjung kasih atas keberangkatan Paduka Baginda bagi mendengar taklimat tersebut.
“Kita sangat bersyukur kepada Allah SWT, tentang penubuhan Universiti Al-Quran ini mendapat sokongan daripada semua lapisan, daripada istana, Kerajaan Negeri, warga UniPSAS dan juga daripada masyarakat.
“Dan insyaAllah, setelah kita (persembahkan) taklimat kepada Tuanku, dan keputusan-keputusan yang telah kita terima pada hari ini, insyaAllah, 2026, UniPSAS ini akan bertukar menjadi Universiti Al-Quran.

“InsyaAllah 2026, Negeri Pahang akan mempunyai sebuah Universiti Al-Quran. Itu berdasarkan pada progres yang kita buat sekarang, kita target 1 Januari 2026,” katanya ketika ditemui selepas persembahan taklimat berkenaan di sini hari ini.
Tambahnya, proses penubuhan melibatkan beberapa peringkat termasuk Jabatan Pengajian Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta Kementerian Pengajian Tinggi, namun, katanya, dari sudut negeri, perkara itu telah mendapat perkenan Paduka Baginda dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

“Tapi Pahang secara khususnya tidak ada halangan, Tuanku sudah berkenan, MMK pun sudah bersetuju dan membuat keputusan dan tidak ada lagi halangan di peringkat negeri,” katanya yang memaklumkan UniPSAS bakal menjadi Univeristi Al-Quran pertama bukan sahaja di Malaysia, malah mungkin di Asia dan di dunia.
Tambah beliau, fakulti dan program pengajian berkaitan telah sedia ada, termasuk Fakulti Al-Quran dan Sunnah yang bakal diperkasakan.
“Setakat ini, ini adalah kampus Universiti Al-Quran. Jadi, kita mengharapkan jika ada peruntukan-peruntukan nanti, peruntukan-peruntukan pembangunan, kita akan bina bangunan-bangunan yang bersesuaianlah untuk memartabatkan Universiti Al-Quran,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

