Oleh : Ain Nadhirah Basha & Syaherah Azmi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan harapan agar penerbangan terus dari Kuantan ke Kuching, Sarawak dapat dilaksanakan melalui penerbangan Borneo Air.
Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah penerbangan ini juga turut melibatkan Melaka bagi meningkatkan hubungan silaturahim dan ukhwah antara ketiga-tiga negeri dan wilayah terlibat.
“Ingin saya memanjangkan hasrat kepada Tuan Yang Terutama Sarawak, ingin saya mencadangkan kalau Air Borneo yang baru ditubuh, boleh kita merapatkan hubungan lebih akrab dengan penerbangan daripada Kuching ke Kota Bandaraya Kuantan dan ke Kota Bandaraya Melaka.
“Di mana perbincangan antara saya dengan Tuan Yang Terutama Melaka tempoh hari sebagai satu destinasi strategik untuk meningkatkan hubungan silaturahim dan ukhwah antara ketiga-tiga negeri dan wilayah.
“Saya harap Tuan Yang Terutama fikir-fikirlah. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu pun dah cukup. Boleh kita orang Pahang pergi ke sana, ke Kuching dan orang Sarawak pun datang ke Pahang. Ini dapat mengeratkan silaturahim,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian Sempena Majlis Penutup Temasya Warisan Pahang di Muzium Seni Kontemporari (MOCA) malam tadi.
Turut berangkat mengiringi Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang turut disambut oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan.
Al-Sultan Abdullah bertitah program Temasya Warisan Pahang ini turut memperlihatkan kekayaan Negeri Pahang dengan khazanah warisan seni, budaya, serta kraf tangan.
“Sesungguhnya, acara ini telah memperlihatkan betapa kayanya Negeri Pahang dengan khazanah warisan seni, budaya, dan kraf tangan yang menjadi kebanggaan bangsa kita.
“Bahkan kita dapat bergandingan pula dengan pelbagai budaya lain seperti Sarawak, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan; malah juga dengan budaya antarabangsa iaitu Turkiye, Laos, Singapura, dan Indonesia,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

