Oleh : Ain Nadhirah Basha & Syaherah Azmi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Penutup Temasya Warisan Pahang di Muzium Seni Kontemporari Plus (MOCA+) malam tadi.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi keberangkatan tiba Paduka Baginda berdua, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketibaan Paduka Baginda pada pukul 8.20 malam disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri yang turut hadir.
Paduka Baginda Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang turut disambut oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan perasmian pameran baharu yang akan mempamerkan hasil karya seni Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Majlis ini turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti Tarian Puteri Sarawak, Ros Kalas, Joget dan Bermukun iaitu satu persembahan seni hiburan tradisional yang menggabungkan pantun berirama, alunan muzik tradisi dan tarian lenggok berseni yang sering dimainkan semasa majlis keramaian sebagai lambang kemeriahan dan perpaduan.
Turut menyerikan majlis, adalah pertunjukan fesyen busana tradisional seni warisan Melayu
Sarawak yang menampilkan Koleksi Darul Hana, Keringkam Sarawak, dan Songket Sarawak daripada koleksi Kenchana Darul Hana.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

