Oleh : Ain Nadhirah Basha & Syaherah Azmi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru agar usaha dalam memartabatkan warisan negeri ini dapat diteruskan dengan penuh tekad dan semangat.
Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah warisan bukan sahaja sekadar khazanah lampau tetapi sebahagian daripada jati diri bangsa yang perlu hidup dalam kehidupan seharian.
“Saya menyeru agar usaha memartabatkan warisan negeri ini diteruskan dengan penuh tekad dan semangat. Warisan bukan sekadar khazanah lampau untuk dikenang, tetapi lebih utama ia adalah sebahagian daripada jati diri bangsa yang perlu hidup mekar dalam kehidupan seharian kita.
“Saya percaya, melalui sokongan padu daripada pihak kerajaan, institusi pendidikan, badan kebudayaan, dan seluruh masyarakat, seni dan budaya kita akan terus berkembang serta menjadi kebanggaan negeri dan negara,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar semua pihak dapat memberi sokongan berterusan kepada institusi yang memelihara dan mengembangkan warisan negeri.
“Melalui usaha-usaha ini, bukan sahaja kraf dan seni tradisi kita dapat terus diketengahkan, bahkan sejarah serta tamadun negeri ini dapat ditulis semula dengan lebih menyeluruh, berdasarkan penemuan-penemuan baharu hasil penyelidikan yang mendalam berdasarkan bukti-bukti artifak dan arkeologi.
“Dengan cara ini, warisan yang tersimpan di bumi Pahang akan terus hidup, dipelajari, dikaji, disebarkan, dan dihargai oleh generasi hari ini dan akan datang,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan rasa bersyukur di atas kelancaran program Temasya Warisan Pahang selama tujuh hari bermula 1 September lepas di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan.
Paduka Baginda bertitah demikian Sempena Majlis Penutup Temasya Warisan Pahang di Muzium Seni Kontemporari (MOCA) malam tadi.
Turut berangkat mengiringi Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang turut disambut oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan. – PAHANGMEDIA

