Oleh : Syaherah Azmi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 22 OGOS 2025 : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan untuk meneliti semula skim perkhidmatan Pembantu Tadbir yang disifatkan masih ketinggalan berbanding skim lain di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Presiden CUEPACS Kebangsaan, YBhg. Dato’ Dr. Haji Adnan Mat berkata, seramai 350,000 Pembantu Tadbir di seluruh negara dijangka akan menerima manfaat melalui tiga cadangan yang bakal diusulkan.
Menurut beliau, CUEPACS telah mengadakan perjumpaan bersama ahli kesatuan kongres di negeri Pahang bagi mendengar keluhan Pembantu Tadbir yang mendakwa peranan mereka tidak lagi seimbang dengan gred perkhidmatan sedia ada, di sini, hari ini.

“Skim ini perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan. Walaupun SSPA telah dilaksanakan pada Disember lalu, masih ada ruang untuk penambahbaikan terutama membabitkan Pembantu Tadbir. Kami telah mengusulkan tiga cadangan utama bagaimana skim ini boleh ditambah baik,” katanya setelah menghadiri sesi taklimat SSPA di Dewan Blok C, Wisma Sri Pahang.
Beliau berkata, cadangan pertama adalah meletakkan Pembantu Tadbir terus pada gred N5 di bawah SSPA, namun jika kerajaan tidak mampu melaksanakannya, cadangan kedua adalah memberi peluang kenaikan lebih awal memandangkan kelayakan masuk skim tersebut ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Cadangan ketiga pula adalah mengekalkan skim ini di bawah N1, namun penjawat diberi laluan kenaikan gred secara berperingkat selepas berkhidmat 15 tahun. Apabila bersara, waran berkenaan kembali kepada N1. Kaedah ini dilihat lebih mesra dan tidak menghapuskan peranan Pembantu Tadbir sebagai tunjang di setiap kementerian dan jabatan,” katanya.
Dalam pada itu, CUEPACS turut membangkitkan isu Pegawai Khidmat Pelanggan (PKP) yang bertugas di hospital kerajaan iaitu keputusan kerajaan memperkenalkan waktu kerja 42 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kesihatan sebelum ini wajar diperluaskan kepada Bahagian Khidmat Perkhidmatan (BKP) yang juga bekerja mengikut syif.
“CUEPACS berharap kerajaan dapat mempercepatkan kajian berkaitan skim Pembantu Tadbir ini. Jika boleh, pengumuman baharu mengenai penambahbaikan skim berkenaan dilaksanakan menjelang pembentangan bajet akan datang,” katanya.
Sementara itu, pemilihan CUEPACS peringkat negeri dijadualkan pada 17 Ogos ini bagi memilih kepimpinan baharu yang akan terus memperjuangkan kepentingan dan hak penjawat awam.-PAHANGMEDIA.

