Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 21 OGOS 2025 : Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) daerah Cameron Highlands menampilkan kelainan dengan mengadakan hebahan menggunakan tiga bahasa kepada penduduk daerah berkenaan.
Menurut YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, hebahan dengan kerjasama Jabatan Penerangan ini menggunakan bahasa Melayu, bahasa Mandarin, dan bahasa Semai bagi meluaskan capaian pengunjung.

“Kita buat hebahan ada kelainan sedikit, kita pergi ke keseluruhan kawasan di Cameron Highlands dan kita membuat pemberitahuan melalui Jabatan Penerangan yang membuat hebahan mengenai program ini menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa cina (Mandarin), dan bahasa Semai.
“Ia supaya masyarakat tahu yang kita akan adakan townhall ini supaya mereka datang beramai-ramai. Dan alhamdulillah hari ini ada pelbagai kaum yang datang dan kita akan teruskan pendekatan ini,” katanya.

Beliau berkata hebahan menggunakan pelbagai bahasa ini juga akan diteruskan di daerah lain bagi program ini bagi memastikan hebahan difahami oleh segenap masyarakat di negeri ini.
“Hasrat kita agar hebahan ini difahami. Itulah matlamat kita supaya setiap daerah, seluruh daerah itu maklum dengan program yang kita buat ini. Jadi kita akan teruskan,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa berpuas hati dengan penglibatan dan dapatan daripada program yang dijalankan yang mana dapat menyentuh secara terus permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Townhall yang diadakan di Dewan Puncak Arabella yang turut disertai kira-kira 700 penduduk hari ini.
Turut hadir YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin dan barisan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri ini. -PAHANGMEDIA

