Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 22 OGOS 2025 : Program Muafakat Felda sempena Kembara Muafakat Felda Pahang yang digabungkan bersama Jelajah Klinik Tok Wan di FELDA Lembah Klau hari ini terus menjadi platform penting bagi Kerajaan Negeri menyantuni masyarakat FELDA.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, berkata siri jelajah ini merupakan yang kelapan dilaksanakan setakat ini daripada 29 siri keseluruhan yang dirancang tahun ini.

“Inilah antara satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang. Kita jelajah, buat penerangan… menerangkan Inisiatif Makmur Pahanag (I.M Pahang), seterusnya mendekati masyarakat FELDA dan negeri Pahang.
“Rata-rata yang dah kita pergi ini Alhamdulillah mereka memberi maklumbalas yang sangat positif dan sebelumnya ada yang tidak mengetahui inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dan Alhamdulillah mereka dapat maklum balas yang cukup baik dan juga positif,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan pula berkata program Klinik Tok Wan setakat ini telah menyantuni lebih 500 penerima Kad Kesihatan Kasih Makmur di seluruh negeri.
“Setakat ini banyak yang kita bantu selain daripada kad, khidmat nasihat kita bagi, dan insyaAllah saya pun telah memanjang Klinik Tok Wan ini (setakat ini) bergerak di FELDA, kita mohon Kerajaan Negeri perluaskan lagi ke kampung-kampung tradisional, kepada pemegang-pemegang Kad Kesihatan Kasih Makmur,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, pulaa menegaskan bahawa pendekatan program ini membuktikan kerajaan negeri mengutamakan perkhidmatan terus kepada rakyat, bukan retorik politik.
“Kita tak ada main sentimen atau persepsi, kita tak bina propaganda politik, kita tak janji kosong. Hari ini melalui program Kembara Muafakat Felda Pahang, dan juga Jelajah Klinik Tok Wan ini buktikan servis wakil Kerajaan Negeri terus kepada rakyat.
“Jadi ini bukti apa yang YAB. Menteri Besar kata Pahang1st, terus kepada rakyat,” katanya.
Program Kembara Muafakat Felda dan Jelajah Klinik Tok Wan dijangka terus menjelajah ke seluruh Felda di negeri ini mengikut jadual mingguan atau dua minggu sekali sehingga selesai kesemua siri pada tahun ini. -PAHANGMEDIA

