Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Semua pihak perlu menolak sekeras-kerasnya permainan persepsi, fitnah dan tohmahan yang boleh memecah-belahkan rakyat, tegas YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja menghakis kepercayaan terhadap kerajaan, malah meniup sentimen agama dan perkauman yang boleh menggugat keharmonian negeri serta perpaduan rakyat.
“Sebagai contoh, permainan persepsi yang ditimbulkan baru-baru ini kononnya pentadbiran negeri ini perlu dikembalikan kepada orang Melayu dan Islam.
“Saya nak tanya, adakah pentadbiran hari ini dilaksanakan oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam. Adakah saya ini bukan Melayu dan bukan Islam. Adakah Setiausaha Kerajaan Pahang bukan Melayu dan bukan Islam. Adakah Pahang ini negeri sekular dan menolak Islam.
“Permainan persepsi ini cukup bahaya, kerana ia bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, tetapi juga meniup sentimen agama dan perkauman yang akan menjurus kepada perpecahan perpaduan rakyat yang kita telah pertahankan sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Beliau dalam masa sama turut menyelar tindakan pihak yang mengeluarkan persepsi kononnya Kerajaan Negeri tidak fokus terhadap pentadbiran negeri.
“Tak apalah, itu mungkin sekadar pandangan yang mungkin nak lihat kita beri fokus seperti mana fokusnya kerajaan Kelantan dan Terengganu. Saya nak bagi tahu, dalam keadaan kita dikatakan tidak fokus, kita berjaya mengutip hasil melebihi RM1 bilion ringgit untuk tiga tahun berturut-turut.
“Dalam dikatakan kita tak fokus, kita berjaya menarik pelaburan yang direalisasikan bernilai RM4 bilion ringgit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, terbaik di Pantai Timur. Dalam dikatakan kita tak fokus, kita terus mengukuhkan syiar Islam di bumi Pahang. InsyaAllah Universiti Al-Quran akan kita tubuhkan tidak lama lagi.
“Dalam dikatakan kita tak fokus, kita terus berupaya menyalurkan peruntukan, sumbangan dan bantuan kepada segenap lapisan rakyat menerusi Inisiatif Makmur Pahang, rumah percuma Rumah Rakyat Pahang, meningkatkan perkhidmatan bekalan air, meneruskan pemberian Juadah Makmur dan banyak lagi,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan pelancaran gagasan Aspirasi Pahang 1st dan penubuhan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 adalah untuk memastikan negeri ini terus dipacu dengan lebih tersusun, lebih terarah, lebih maju dan lebih baik. -PAHANGMEDIA

