ROMPIN, 15 OGOS 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli melihat tapak balai bomba yang akan dibina di Kampung Tekek, Pulau Tioman, di sini hari ini.
Paduka Baginda berkenan menunggang motosikal membawa anakanda YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda dalam titah menzahirkan harapan agar Balai Bomba dan Penyelamat yang bakal dibina nanti dapat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat di Pulau Tioman.

“Hari ini saya dah lihat tapak bersama Dato’ Pengarah Bomba Pahang dan dimaklumkan tender akan dibuka (bagi kerja-kerja pembinaan), satu balai bomba berkelas D.
“Sekarang Tioman dah ada balai bomba, klinik, balai polis, Telekom wifi ada, bank ada..saya harap semua kemudahan ini memberi manfaat kepada rakyat saya di sini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda sebelum itu berkenan ke santapan pagi di Family Cafe sebelum ke tugu dan arca mercu tanda Pulau Tioman untuk merakam gambar kenangan.
Paduka Baginda juga berkenan melayani penduduk setempat yang menanti di sepanjang jalan dilalui tuanku sebelum meneruskan lawatan ke Kompleks Jeti Tekek untuk melihat operasi Kastam dan Imigresen di situ.
Mengakhiri lawatan, Paduka Baginda berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jame’ Kampung Tekek sebelum berangkat pulang. -PAHANGMEDIA

