Oleh : Norhafizan Zulkifli
CAMERON HIGHLANDS, 13 JUN 2026 : Pahang dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia Tahun 2026 yang akan berlangsung di Cameron Highlands pada 6 hingga 9 September depan.
YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pemilihan Pahang sebagai tuan rumah persidangan berprestij itu merupakan satu penghormatan kepada negeri ini selepas mendapat persetujuan Speaker-Speaker seluruh negara.
Katanya, persidangan yang diadakan secara tahunan dan bergilir-gilir antara negeri-negeri itu bakal menghimpunkan 13 Speaker DUN, Timbalan Speaker serta Setiausaha Dewan dari seluruh negara.

“Setiap kali persidangan diadakan, pelbagai isu berkaitan ketelusan, reformasi, tadbir urus dan penambahbaikan sistem demokrasi akan dibentangkan serta dibincangkan.
“Fokus utama adalah memperkukuh peranan Dewan sebagai institusi yang menggubal dasar dan perundangan negara. Rakyat perlu melihat bahawa segala yang dilakukan oleh institusi Dewan adalah secara terbuka dan telus,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan persiapan persidangan berkenaan di Hotel Zenith Cameron Highlands, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang yang terkini ialah YB Tuan Lee Chin Chen dan barisan ketua-ketua jabatan yang terlibat.
Tambahnya, pemilihan Cameron Highlands sebagai lokasi persidangan dilihat bertepatan dengan keunikan kawasan tanah tinggi itu yang terkenal sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Kebiasaannya persidangan seperti ini diadakan di ibu negeri, namun kali ini kita memilih Cameron Highlands kerana keistimewaan dan tarikannya yang tersendiri.
“Mungkin ada dalam kalangan delegasi yang belum pernah berkunjung ke Cameron Highlands justeru ini merupakan peluang terbaik untuk mempromosikan destinasi pelancongan tanah tinggi yang terkenal di Malaysia ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pahang sebagai tuan rumah amat mengalu-alukan kehadiran semua delegasi dan yakin penganjuran persidangan berkenaan mampu memperkukuhkan hubungan kerjasama antara institusi legislatif di peringkat negeri dan persekutuan.
Beliau turut memaklumkan, satu Majlis Santapan Diraja turut dijadualkan berlangsung sempena persidangan itu dan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli menghadiri majlis berkenaan. -PAHANGMEDIA

