Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan bajet tambahan sebanyak RM141 juta yang merupakan antara bajet terendah sejak 2022.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri Pahang cuba mengurangkan bajet tambahan mengikut kemampuan dan komitmen yang diperlukan di negeri ini.
“…terutama sekali kita membincangkan bajet tambahan RM141 juta. Alhamdulillah mendapat sokongan penuh Ahli-ahli Dewan (Undangan Negeri) termasuk daripada kerajaan dan pembangkang.
“Dan bajet yang kita buat tambahan tadi adalah antara yang terendah. Dari tahun 2022 yang terendah. Yang kita buat dan kita cuba rendahkan lagi. Setakat mana yang boleh,” katanya.
Beliau berkata penambahan bajet ini juga merupakan proses biasa oleh di setiap negeri bagi menampung perbelanjaan dan perkara di luar jangkaan.
“Ada tujuh perkara. Antara ini adalah sistem kenaikan gaji pejawat awam dan juga pencen, pemberian pencen dan ianya adalah perkara wajib yang memang tidak dapat dielakkan.
“Kerajaan Negeri terpaksa atau perlu membuat pembayaran, dan ini adalah proses biasa. Setiap negeri ataupun kerajaan pasti ada bajet tambahan. Kadang-kadang ada perkara-perkara yang di luar jangka.
“Contohnya pencen wang pesaraan pencen dan sebagainya. Kita buat, kita budgeted tetapi kadang-kadang tidak mencukupi. Jadi untuk berbelanja, kita harus bawa ke Dewan Undangan Negeri sebab ini adalah yang termaktub dalam undang tubuh kerajaan negeri. Ini enakmen untuk perbelanjaan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

