Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
MARAN, 13 JUN 2026 : Seramai lima pasangan pengantin diraikan dalam Program Anggun Suri Peringkat Parlimen Kuala Krau yang berlangsung di Dewan Balora Mastika, Jengka, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, program berkenaan yang memasuki penganjuran kali ketiga di kawasan Parlimen Kuala Krau terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menurut beliau, program tersebut akan diteruskan di lokasi lain dalam kawasan Parlimen Kuala Krau bagi memberi peluang kepada lebih ramai pasangan untuk menyertai inisiatif berkenaan.

“Kali ini di Parlimen Kuala Krau kita buat lima pasang dan insya-Allah kita akan buat satu, di lain masa lah lagi lima pasang. Mungkin kita akan buat di kawasan-kawasan lain, bukan di dewan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Anggun Suri Peringkat Parlimen Kuala Krau, hari ini.
Sementara itu, salah seorang pengantin yang diraikan, Muhammad Sukri bin Sulaiman dan pasangannya, Wan Nurshahira binti Wan Roslan berkata, program berkenaan banyak membantu mereka terutama dari segi persiapan dan kos perkahwinan.

“Saya pilih program ni sebab dia (program) memudahkan bagi pihak kami untuk berkahwin dan memudahkan juga dari segi kewangan lah macam tu,” katanya.
Bagi pasangan Mohamad Fakkaruddin bin Mohd Adam @ Mohd Adham dan Siti Aisyah binti Abdullah pula, mereka menzahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dan terima kasih juga kepada Tok Wan untuk membuat program yang sebesar ini untuk anak-anak muda dan terima kasih kepada semua yang telah membantu kami daripada awal sampai yang terakhir,” katanya.

Mereka turut menyifatkan Program Anggun Suri 2026 sebagai inisiatif yang amat bermanfaat kepada golongan muda kerana dapat meringankan beban kewangan selain menghimpunkan ahli keluarga dalam satu majlis.
“Program ini sangat bermanfaat kerana ia sangat meringankan beban untuk Gen Z seperti kami.
“Di samping itu, ahli keluarga yang jauh dapat berkumpul bersama-sama di dalam satu event (program) sahaja,” katanya.
Seterusnya Program Anggun Suri ini akan diadakan di Parlimen Bera pada 11 Julai hadapan. -PAHANGMEDIA

