Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : “Alhamdulillah, kita sangat bersyukur, kita sambut baik keputusan 3-0,” kata YAB. Menteri Besar Pahang berkaitan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Peguam Negara (AG) berkaitan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkan Dato’ Sri Mohamad Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri juga menghormati keputusan yang telah diputuskan oleh pihak mahkamah semalam.
“Keputusan mahkamah kita tak boleh pertikaikan,” katanya mengulas mengenai keputusan yang dibuat panel hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dan Datuk Hanipah Farikullah.
Pada 28 April lepas, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk menbuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan yang didakwa berkaitan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Dato’ Sri Mohamad Najib turut memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Beliau telah menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediaman beliau di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Dato’ Sri Mohamad Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan beliau termasuk kenyataan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Dato’ Sri Mohamad Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. -PAHANGMEDIA

